Ramadan, Lisan dan Politik

Jangan salahguna kebebasan untuk menyebarkan dosa-dosa lisan yang mampu meranapkan misi perpaduan.

2285 0
2285 0
Bahasa Melayu

Diterbitkan oleh The Patriots, gambar daripada LiveIn.

Dalam sebuah hadith qudsi daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW telah bersabda: “Allah berfirman: “Setiap amalan Bani Adam adalah untuk dirinya sendiri, kecuali puasa kerana ia untukku dan Aku yang akan memberi ganjaran bagi orang yang berpuasa.” Demi Tuhan yang nyawaku dalam genggamanNya, bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih baik di sisi Allah daripada bau kasturi.”

Pertama kali saat saya mendengar hadith ini semasa di bangku persekolahan, banyak persoalan yang bermain di minda saya. Antaranya, apakah perlunya Allah menyebut mengenai bau mulut di sini sedangkan perkara-perkara deria adalah perkara yang melibatkan objek fizikal, dan Dia melangkaui semuanya itu.

Keduanya, bau mulut orang yang berpuasa memang kurang enak kerana rendahnya kadar pembersihan mulut oleh air liur. Ketiadaan makanan akan merendahkan pengeluaran air liur, dan rendahnya kuantiti air liur akan mewujudkan suasana kondusif untuk pembiakan bakteria, sekaligus menghasilkan bau.

Namun, makna hadith tersebut semakin jelas saat saya menemukan perbahasan mengenai puasa oleh al-Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulum al-Din. Menurutnya, puasa pada tahapnya yang paling asas adalah menahan diri, secara spesifiknya menahan organ perut dan kemaluan, daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa. Puasa ini disifatkannya sebagai sawm al-‘awwam, yang bermaksud puasa orang awam.

Saat seseorang menahan organ fizikal yang lain, seperti mata, telinga dan lidah, daripada larangan-larangan Shari‘ah, maka sesungguhnya status puasanya adalah sawm al-khawwas, yang bermaksud puasa orang yang terkhusus. Dan sekiranya hatinya turut berpuasa daripada segala perkara yang melalaikannya daripada mengingati Allah, maka status puasanya bergelar sawm khawwas al-khawwas, yang bermaksud puasa orang yang terkhusus daripada yang terkhusus. Demikian tahap puasa yang tertinggi.

Ternyata di sini, puasa bukan sekadar dihadkan pada organ mulut dan kemaluan sahaja, akan tetapi juga kepada organ-organ lain, hatta yang begitu spiritual seperti hati. Dan jelaslah kepada saya tatkala itu bahawa wanginya mulut orang yang berpuasa bukanlah pada setiap orang yang tidak makan, akan tetapi kepada setiap mereka yang lidahnya tidak berkata jahat, berbohong, mengumpat, memfitnah serta dosa-dosa lisan yang lainnya.

Di samping itu, ia menjadi lebih wangi daripada kasturi saat lidah dihiaskan dengan berzikir kepada Allah, bertilawah serta bercakap yang baik-baik. Demikianlah makna batin buat hadith qudsi ini yang menumpukan aspek pengislahan kepada lidah manusia. Maka barangsiapa yang benar-benar menyemangati ruh puasa, tentu sahaja cara pertuturannya akan berubah untuk hari-hari akan datang. Dia menjadi lebih sopan dalam berkata-kata, serta berfikir dalam sebelum berkata apa-apa.

Di tengah-tengah pergelutan persepsi sosial dan politik yang begitu mencabar pada hari ini, manusia akan mudah tersimpang daripada matlamat utama pengislahan lisan ini dan terjerumus ke kancah pertelingkahan yang mencerai-berai tali persaudaraan. Peristiwa hitam antara Khalifah ‘Ali dan ‘Aishah yang menyulut api perpecahan daripada pergelutan politik amat wajar dijadikan pengajaran.

Seandainya wujud punca perbalahan sesama kita, percakaran politik kepartian berteraskan perkauman dan ketaksubanlah yang paling tidak berbaloi. Nafas kebebasan yang dikecapi di tanah air kita pada hari ini tidak sewajarnya didominasi oleh wacana politik kepartian dan digunakan untuk menyebarkan dosa-dosa lisan yang mampu meranapkan segala misi perpaduan.

Oleh yang demikian, Ramadan seharusnya menjadi madrasah buat kita berhenti sejenak dan bermuhasabah dengan tindakan lalu. Bagaimanakah nikmat lidah dan kemampuan berkata-kata yang telah dikurniakan Allah dimanfaatkan oleh kita? Adakah ia digunakan ke jalan mahmudah (terpuji), sehingga baunya lebih harum daripada kasturi? Atau ia digunakan ke jalan mazmumah (dikeji), sehingga baunya umpama bangkai manusia yang dikunyah, sebagaimana yang terpatri dalam surah al-Hujurat ayat 12?

Dan janganlah kamu saling mengumpat. Adakah salah seorang daripada kamu selesa memakan daging saudaranya yang sudah mati? Sudah tentu kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha penerima taubat lagi maha penyayang.”

Saling mengingatkan antara satu sama lain agar berkata benar dan bersabar merupakan tunjang dalam mendepani cabaran zaman pada hari ini. Demikian peringatan surah al-Asr agar manusia tidak leka dengan nikmat lidah yang dikurniakan Tuhan. Di mana-mana sahaja, dan dengan sesiapa sahaja, sentiasa jadikan perbualan kita perbualan yang bermakna, bukan yang kosong atau sia-sia.

Dan dalam menyampaikan maklumat-maklumat yang sahih dan bermanfaat, sentiasalah fikirkan bagaimana mesej itu mampu menembusi minda masyarakat tanpa melukai hati sesiapa pun. Kehalusan budi bahasa merupakan identiti kita, dan kita wajar berpegang dengannya. Ibarat kata pepatah Melayu, biar terpedas lada, jangan terpedas kata. Terpedas lada sampai di mulut, terpedas kata membawa maut.

Manfaatkanlah bulan yang barakah ini untuk memperbaharui diri dan beristiqamah dengannya. Semoga puasa yang kita lakukan pada Ramadan kali ini diterima oleh Allah sebagai ibadah yang melangkaui sekadar lapar dan dahaga.

Hilman Fikri Azman merupakan Pegawai Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

In this article