Peranan insurans, takaful dalam mengurangkan kos rawatan kesihatan

Kesedaran mengenai kepentingan memiliki insurans dan takaful kesihatan di Malaysia masih rendah.

2917 0
2917 0
Bahasa Melayu

Diterbitkan oleh The Malaysian Insight, gambar daripada The Star.

Kesedaran terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD) di kalangan rakyat Malaysia hari ini berada pada tahap yang membimbangkan. Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), dianggarkan 73 peratus daripada jumlah kematian di Malaysia adalah disebabkan oleh NCD dan peratusan ini terus meningkat setiap tahun 

NCD yang paling banyak dihadapi oleh rakyat Malaysia adalah masalah berkaitan kardiovaskular dan kanser. Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan satu inisiatif Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 atau disebut sebagai PeKa B40, yang bertujuan menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah, dengan memberi fokus terhadap NCD. 

Selain PeKa B40, terdapat beberapa lagi inisiatif yang telah diperkenalkan oleh kerajaan dalam mengurangkan beban rakyat bagi menghadapi kos rawatan kesihatan yang semakin meningkat. Namun, tuah dan musibah boleh menimpa sesiapa sahaja, yang berkemampuan atau tidak, yang tua atau muda, tidak kira waktu dan tempat. 

Malang tidak berbau

Insurans adalah pemindahan risiko daripada seorang individu atau sebuah organisasi kepada syarikat insurans. Individu atau organisasi tersebut akan menjadi pemegang polisi. Syarikat insurans akan menerima bayaran daripada pemegang polisi dalam bentuk premium dan sekiranya pemegang polisi mengalami sebarang kerugian atau kerosakan, syarikat insurans akan membayar pampasan kepada pemegang polisi tersebut.

Takaful pula mempunyai prinsip asas yang sama, namun ianya ditambah baik daripada insurans bagi memenuhi keperluan produk mengikut peraturan yang digariskan oleh Syariah.

Setiap orang pastinya mengharap dapat mengelak daripada menghadapi sebarang penyakit, kemalangan, kesusahan dan musibah yang lainnya. Bagaimanapun, sekiranya seseorang ditimpa musibah sedemikian, ia pasti akan menjadi beban yang berat jika status kewangannya tidak kukuh.

Insurans dan takaful dilihat sebagai salah satu cara  untuk mengurangkan kos rawatan kesihatan pada masa kini. Ia memberi sokongan kewangan yang amat diperlukan ketika waktu kecemasan.

Dan apabila membahaskan mengenai insurans, seringkali kedengaran respon seperti “Saya tawakal dengan ketentuan Tuhan”, “Belum mampu lagi”, “Kita rugi, ejen yang untung”. Ada juga yang dalam dilema mengenai usia yang sesuai untuk membeli polisi insurans dan takaful ini dan hanya bergantung harap terhadap pelan yang disediakan oleh majikan.

Perancangan kewangan jangka masa panjang 

Perlindungan kewangan merupakan salah satu instrumen yang penting dalam merancang kewangan jangka masa panjang. Perlindungan kewangan melindungi diri daripada musibah yang tidak dijangka.

Berbeza dengan simpanan kewangan, perlindungan kewangan bertujuan mengurangkan kos perbelanjaan rawatan kesihatan. Harga premium insurans dan takaful ini meningkat seiring dengan tahap usia dan kesihatan seseorang. 

Premium untuk pelan kesihatan ditentukan oleh umur, sejarah perubatan, bandar kediaman dan lain-lain daripada yang diinsuranskan. Jika premium ini dibeli pada usia muda, maka amaun yang dibayar akan lebih murah.

Selain perlindungan, terdapat juga pelan insurans dan takaful yang menggabungkan perlindungan dengan pelaburan. Premium yang dibayar bukan sahaja menyediakan insurans semata-mata tetapi sebahagian daripadanya akan dilaburkan ke dalam dana pelaburan. Pemegang polisi boleh memilih pelan yang disediakan mengikut keperluan dan kemampuan kewangan.

Ingatlah orang yang tersayang

Mendapat berita mengenai sahabat yang ditimpa penyakit atau kemalangan adalah amat mendukacitakan. Manakan tidak, kedua-dua musibah itu boleh mengakibatkan seseorang individu itu hilang upaya atau hilang punca pendapatan. 

Malah, ini juga akan menimbulkan kos perbelanjaan yang lain seperti kos ubat, kos rundingan doktor, peralatan perubatan, kos perjalanan ulang-alik ke hospital serta kos lain. Sudah pasti kehidupan dan kedudukan kewangannya akan terjejas, sehingga akhirnya turut memberi kesan kepada keluarganya.

Dalam sekelip mata, segalanya yang penting dalam hidup boleh hilang, lebih-lebih lagi jika musibah tersebut melibatkan pencari nafkah itu sendiri. 

Atas sebab itu, masyarakat harus lebih peka terhadap kepentingan dan peranan insurans dan takaful ini dalam memberi sokongan kewangan yang lebih terjamin, dan pada masa yang sama dapat membiayai kos rawatan kesihatan yang semakin meningkat pada hari ini.

Tiada jumlah wang yang boleh mengantikan nyawa seseorang. Namun, polisi insurans dan takaful boleh memberi perlindungan untuk berdepan dengan ketidaktentuan hidup.

Amir Jalal merupakan Pegawai Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

In this article