Pendidikan, agama mampu elak tragedi di Sungai Kim Kim berulang?

Hanya dengan pendidikan etika di sekolah dan pengajaran kerohanian di rumah ibadat mampu menambah baik mentaliti rakyat, di samping mewujudkan anjakan paradigma serta budaya baru.

2791 0
2791 0
Bahasa Melayu

Diterbitkan oleh Free Malaysia Today, gambar daripada Free Malaysia Today.

Musibah yang menimpa pelajar dan penduduk di Pasir Gudang berpunca daripada pemeluwapan gas kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim pada 7 Mac lalu.

Selepas seminggu kejadian itu berlaku, jumlah mangsa yang dirawat di hospital semakin meningkat dan tiada petanda menunjukkan keadaan akan reda dalam masa terdekat. Didoakan kesihatan mereka yang terjejas semakin pulih.

Pihak berkuasa sudah memberkas 3 individu yang dipercayai bertanggungjawab membuang 20 hingga 40 tan sisa toksik ke sungai itu. Jika buangan terjadual itu sengaja dilakukan, ia adalah tindakan amat zalim kerana ia memudaratkan kesihatan ratusan mangsa, termasuk pelajar, guru dan penduduk sekitar.

Tambahan pula, tindakan itu bukan sekadar memberi kesan kepada manusia, bahkan turut membinasakan hidupan di sekitar sungai dan yang meminum air daripada sungai itu.

Sisa toksik itu seterusnya akan mengalir ke dalam laut dan berpotensi membahayakan lebih banyak hidupan marin, sekaligus menjadi ancaman terpendam buat manusia bagi jangka panjang.

Penduduk di Pasir Gudang pernah mendakwa pencemaran Sungai Kim Kim ini bukan kali pertama, sebaliknya ia sudah lama berlaku.

Pencemaran kali ini paling teruk dan memudaratkan bagi Sungai Kim Kim. Persoalannya, apakah Jabatan Alam Sekitar Johor dan agensi penguatkuasaan tidak melakukan pemeriksaan rutin selama ini? Mengapa tindakan tidak bertanggungjawab sebegini boleh berlaku?

Daripada satu sudut, ini merupakan manifestasi daripada hilangnya rasa pesona dan kesedaran terhadap alam, sebagaimana yang pernah diungkapkan sarjana, Syed Muhammad Naquib al-Attas. Ini berlaku apabila alam sekitar tidak lagi dipandang sebagai produk akhir ciptaan Tuhan yang penuh berseni.

Semua agama, tanpa terkecuali, menitikberatkan soal pemeliharaan alam sekitar. Dalam Islam, kita diajar mengenai status alam ini sebagai tanda-tanda kekuasaan tuhan. Untuk itu, ia mestilah diperlakukan dengan baik dan diterima sebagai amanah.

Allah berfirman dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 190: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi mereka yang berfikir.”

Dalam Perjanjian Lama turut dinukilkan, saat manusia diseru untuk bertanya kepada haiwan-haiwan di langit dan bumi mengenai siapakah yang bertanggungjawab terhadap status kewujudan diri mereka: “Siapakah di antara mereka itu yang tidak tahu tangan Tuhanlah yang menciptakan semuanya itu.” (Ayub 12: 7-9).

Demikian juga Siddhartha Gautama yang mengajar Sangha menghayati semangat alam berdiam dalam pepohon, batuan, haiwan dan serangga untuk mengecapi nirvana.

Sanatana Dharma berdasarkan kitab-kitab Veda, Upanishad, Purana dan Sutra turut mengajar, alam merupakan pelbagai manifestasi daripada dewa-dewi.

Sentuhan ketuhanan dalam alam semesta yang diketengahkan dalam agama ini akan membangkitkan kesedaran dalam diri bahawa alam ini adalah sakral dan tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya.

Dalang di sebalik pencemaran Sungai Kim Kim sudah dicekup dan akan didakwa tidak lama lagi, untuk itu apakah peranan agama sedangkan penguatkuasaan ketat cukup membanteras kegiatan bejat terhadap alam sekitar ini? Namun, kita turut mempersoalkan adakah penguatkuasaan sudah mencukupi?

Memetik kata-kata saintis Jerman, Gus Speth: “Punca utama masalah alam sekitar adalah ketamakan dan ketidakpedulian. Dan sebagai saintis, kita tidak mampu mengubah itu.”

Penguatkuasaan undang-undang tidak mampu mengubah sikap mazmumah seperti tamak dan pentingkan diri dalam manusia. Ia lebih bersifat hukuman untuk membaiki keadaan selepas kemudaratan berlaku. Tidak dinafikan ia adalah penting dan agama turut menyeru perosak alam sekitar diberikan hukuman setimpal. Namun, agama turut mengutamakan langkah pencegahan sebelum pencemaran alam berlaku.

Sains dan polisi awam sahaja tidak mampu menyelesaikan masalah alam sekitar dan membina peradaban masa depan yang lebih mapan dan berbudi kepada alam.

Hal ini kerana formula untuk membina peradaban Malaysia Baru yang lebih prihatin terhadap pemeliharaan alam sekitar turut merangkumi pendidikan etika dan kerohanian, bukan sekadar pendidikan sains.

Dalam cerapannya terhadap masyarakat timur, Anwar Ibrahim pernah mengusulkan tesis bahawa masyarakat Asia adalah masyarakat “homo religiosus”, iaitu masyarakat yang tidak terasing daripada elemen spiritual.

Oleh demikian, penguatkuasaan undang-undang sedia ada perlu disinergikan dengan pendidikan etika dan kerohanian. Dan yang terutama sekali untuk menyemangati perkara ini adalah para pemimpin, menteri bertanggungjawab dan penggubal dasar, kemudian diikuti para pendidik dan rakyat kebanyakan.

Hanya dengan pendidikan etika di sekolah dan pengajaran kerohanian di rumah ibadat mampu menambah baik mentaliti rakyat, di samping mewujudkan anjakan paradigma serta budaya baru.

Tragedi Sungai Kim Kim hanyalah satu peristiwa contoh di atas garis pengalaman badan berkuasa dalam menguruskan bencana tidak dijangka. Di samping berfungsi sebagai ujian terhadap kecekapan dan kepantasan mereka, ia juga mampu menzahirkan sama ada mereka serius atau tidak dalam membanteras apa jua usaha pencemaran alam sejak awal.

Oleh demikian, sudah tiba masanya pendidikan mengenai pemeliharaan alam sekitar diserap dalam kurikulum sekolah dan diajar agamawan di masjid, gereja, tokong serta kuil untuk membentuk kesedaran dan kefahaman yang hakiki terhadap alam.

Hilman Fikri Azman merupakan Pegawai Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

In this article