Pencetus perubahan landskap politik Malaysia

Apapun keputusan yang dibuat oleh ahli politik, kepentingan rakyat hendaklah diutamakan.

2212 0
2212 0
Bahasa Melayu

Diterbitkan oleh Berita Harian, gambar daripada Berita Harian.

Bermula dengan Langkah Sheraton, pelbagai spekulasi wujud kemungkinan perubahan politik di negara ini. Apakah akan terbentuk kerajaan perpaduan, minoriti ataupun pembubaran Parlimen, yang semuanya berakhir dengan pembentukan satu kerajaan baharu?

Berakhirnya perjumpaan Yang di-Pertuan Agong dengan semua Ahli Parlimen kelmarin, meredakan sedikit suasana politik negara walaupun masih tiada keputusan jelas terhadap masa depan kerajaan persekutuan.

Namun, pada sebelah petangnya, Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan perutusan khas yang mencadangkan untuk membentuk satu kerajaan tidak memihak kepada mana-mana parti.

Ia secara tidak langsung merujuk kerajaan campuran atau perpaduan. Seperti termaktub dalam Perkara 43 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan, menjadi hak Perdana Menteri untuk memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik menteri lain ke kabinetnya.

Dalam erti kata lain, jika Dr Mahathir dilantik semula menjadi Perdana Menteri, ia terpulang kepada beliau untuk memutuskan sama ada untuk memilih Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) – membabitkan wakil rakyat PKR, DAP dan AMANAH – atau Muafakat Nasional atau mana-mana ahli.

Tidak lama selepas perutusan khas itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sidang media khas, menyatakan PH sebulat suara mencalonkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri kelapan. Keputusan itu dicapai selepas Dr Mahathir tidak bersetuju mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH pada hari sebelumnya.

Ini mengundang perpecahan majoriti suara Dewan Rakyat. Setakat ini, tiada seorang pun wakil ahli Dewan Rakyat dapat mengesahkan mempunyai majoriti mudah 112 kerusi.

Jika tidak berlaku pembubaran parlimen, ini bermakna PH akan membentuk satu kerajaan minoriti — kali pertama dalam sejarah Malaysia. Pelantikan kerajaan minoriti boleh dibentuk menurut Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Terserah kepada Yang di-Pertuan Agong melantik seorang ahli Dewan Rakyat menjadi Perdana Menteri yang pada pendapatnya mendapat kepercayaan sebilangan besar Ahli Dewan Rakyat.‬

Tolak ke tepi pembubaran Parlimen seketika, antara kerajaan perpaduan dengan kerajaan minoriti, mana satu yang lebih baik?

Secara teori, kerajaan perpaduan nampak lebih harmoni dengan lantikan menteri daripada kedua-dua belah pihak dan kerajaan persekutuan dapat dibentuk tanpa pembangkang. Namun, realitinya, dengan keadaan politik semasa di Malaysia, kestabilan politik sukar dicapai memandangkan setiap parti ada prinsip bertentangan.

Seperti dinyatakan ramai pemerhati politik, dalam keadaan politik masa kini, kerajaan perpaduan sebenarnya bermakna kuasa berpusat kepada Perdana Menteri dan ia satu formula ke arah kerajaan diktator.

Bagi kerajaan minoriti pula, ia menjadi pilihan yang boleh dipertimbangkan dalam amalan demokrasi Westminster seperti diamalkan di negara ini. Kerajaan minoriti beberapa kali dibentuk di House of Commons, United Kingdom (UK) sejak 1900. Setakat ini, ada banyak negara maju berdemokrasi membentuk kerajaan minoriti antaranya Belgium, Kanada, Croatia, Republik Czech, Denmark, Ireland, Belanda, New Zealand dan Scotland.

Berdasarkan institusi kerajaan UK, New Zealand dan Scotland, fungsi kerajaan serta parlimen minoriti jauh lebih berkesan. Sebagai contoh, pada 2011, New Zealand mengadakan referendum yang tidak terikat kepada sistem pengundian dan pengundi memilih untuk kekal bersama sistem Perwakilan Berkadar Campuran (MMP), lalu menang dengan margin besar seterusnya menghalang pembentukan parti majoriti untuk berkuasa sepenuhnya sambil memastikan parti kecil dapat bersuara.

Ia secara tidak langsung dapat mewujudkan sistem semak dan imbang lebih efektif. Amalan demokrasi ini juga boleh dikatakan sebagai amalan demokrasi sihat. Di Malaysia, kebanyakan Ahli Parlimen yang sudah mempunyai kuasa dan mengatakan bekerja demi agama, bangsa dan negara, ia lebih bermaksud kepada aku bekerja untuk aku, aku dan aku.

Namun, sistem kerajaan minoriti juga terdapat beberapa khilaf. Sistem ini menyukarkan penggubalan sesuatu dasar atau akta memerlukan dua pertiga sokongan daripada Ahli Parlimen, selain kekangan untuk meluluskan sesuatu belanjawan persekutuan.

Namun, undi 18 tahun dapat digubal dengan baik, walaupun ketika itu kerajaan PH tidak mendapat majoriti dua pertiga. Ini boleh dijadikan asas kukuh untuk kerajaan minoriti beroperasi.

Berbalik pembubaran Parlimen atau pilihan raya (snap election), ia menjurus pembubaran sebuah badan perundangan dan seterusnya rakyat perlu membuat pemilihan baharu yang disebut pilihan raya. Idea ini dituntut beberapa parti, antaranya Muafakat Nasional, termasuk MCA dan MIC serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) sejurus selepas Langkah Sheraton.

Pembubaran Parlimen dilihat bukanlah pilihan baik untuk Malaysia pada ketika ini kerana ia memerlukan perbelanjaan tinggi, mengambil masa lama dan paling penting, gara-gara penularan COVID-19 yang memerlukan orang ramai untuk mengelakkan diri menghadiri perhimpunan atau rapat umum.

Apapun yang dilakukan oleh ahli politik, rakyat semestinya janganlah dilupakan.

Amir Jalal dan Farhan Kamarulzaman merupakan Pasukan Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

In this article