Memperkasa tribunal pembeli

Sebagai pengguna yang bijak, masyarakat perlu peka dan mengambil tahu peranan yang dimiliki agar tidak terus diperdaya.

2029 0
2029 0
Bahasa Melayu

Diterbitkan oleh Sinar Harian, gambar daripada Sinar Harian.

PADA 9 Mac lepas, seorang tauke kedai makan yang tidak mempamerkan harga makanan dikenakan saman selepas mengenakan harga RM30 untuk tomyam udang kepada pelanggannya. Gagal mempamerkan tanda harga barangan jualan merupakan satu kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit) 1993.

Malah, mengikut Seksyen 145 Akta Perlindungan Pengguna 1999, peniaga atau peruncit yang tidak mempamerkan harga boleh dikenakan denda tidak lebih RM 100,000 bagi Perbadanan/Syarikat dan denda RM 50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi Perseorangan.

Semua peniaga yang menjual barangan secara runcit dianggap penjual runcit perlu mematuhi peraturan tersebut termasuk peniaga atas talian (online) yang menjual secara runcit kepada pengguna akhir.

Beberapa kriteria penandaan harga perlu dipatuhi; antaranya harga tunai tiap satu unit atau tiap satu sukatan, dinyatakan dalam Bahasa Malaysia serta terjemahan, saiz dan warna hendaklah jelas, nilai dalam Ringgit Malaysia (RM), dan pengguna mempunyai akses kepada harga sepanjang masa.

Maka, istilah ‘PM tepi’ untuk mengetahui harga adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan terhadap mana-mana peniaga online yang tidak mahu meletakkan harga jualan barangan mereka.

Justeru, sebagai pengguna yang bijak, masyarakat perlu peka dan mengambil tahu peranan yang dimiliki agar tidak mudah diperdaya oleh peniaga yang ingin mengambil kesempatan, sama ada peniaga online atau peniaga biasa.

Namun, siapakah yang boleh dirujuk oleh masyarakat mengenai masalah ini?

Perlindungan pengguna menjadi tanggungjawab Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebagai barisan hadapan untuk membantu pengguna dalam melindungi hak mereka.

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) pula adalah satu badan bebas yang ditubuhkan di bawah Seksyen 85, Bahagian XII Akta Pelindungan Pengguna 1999 [Akta 599] yang diselia oleh KPDNHEP.

Sebelum penubuhan tribunal itu, semua pertikaian antara pengguna dan peniaga, pembekal atau pengilang barang atau pembekal perkhidmatan difailkan dan didengar di mahkamah sivil yang mana melibatkan prosedur yang rumit, kos yang tinggi dan mengambil masa panjang.

Oleh yang demikian, pengguna keberatan untuk membuat tuntutan mereka terhadap peniaga, pembekal, pengilang barang atau pembekal perkhidmatan yang tidak bertanggungjawab dan tidak beretika ini di mahkamah sivil walaupun Mahkamah Tuntutan Kecil telah ditubuhkan di setiap negeri untuk mendengar tuntutan tidak melebihi RM 5,000.00.

Justeru, TTPM ditubuhkan bagi menyediakan satu saluran alternatif kepada Mahkamah Sivil untuk pengguna menuntut tebus rugi berkenaan pembelian barang atau perkhidmatan yang dibekalkan daripada peniaga atau pembekal perkhidmatan dengan cara yang mudah, murah dan cepat, dengan jumlah amaun yang dituntut tidak melebihi RM25,000.

Tetapi, sejauh manakah penguatkuasaan tribunal ini dipandang oleh pihak KPDNHEP? Terdapat beberapa hujah negatif terhadap penguatkuasaan ini kerana ramai lagi peniaga di luar sana masih bebas menaikkan harga sesuka hati terutamanya ketika musim perayaan.

Maka, penguatkuasaan yang lebih efektif diperlukan dalam membanteras monopoli harga sesuatu barangan.

Dalam mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), penguatkuasa juga perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang secukupnya serta mempunyai integriti yang tinggi ketika menjalankan tugas.

Selain tribunal, kita sebagai pengguna boleh membantu pihak berkuasa ini dengan menjadi Rakan KPDNHEP – yang dahulunya dikenali sebagai Skuad Pengguna. Rakan KPDNHEP ini diharap dapat membantu kerajaan serta penguatkuasa mereka dalam menyalurkan maklumat dan menjadi pengguna yang berinformasi bagi melindungi pengguna dari penyelewengan peniaga yang tidak beretika.

Sudah tiba masanya untuk KPDNHEP mengorak langkah ke alam digitalisasi. Ia boleh bermula dengan pembinaan aplikasi untuk rujukan orang ramai terhadap harga barangan semasa. Rujukan harga barang ini boleh dipecahkan mengikut kategori barang, kawasan dan stok semasa.

Akhir sekali, dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, ia sangat membantu jika pihak berkuasa dapat memberi lebih perhatian terhadap penguatkuasaan, tribunal dan cadangan di atas, kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu rakyat dalam mengurangkan kos yang tidak sepatutnya meningkat. Kepada Menteri yang baru dilantik, selamat maju jaya dan fokus terhadap manfaat yang diperlukan oleh rakyat.

Amir Jalal merupakan Pegawai Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

In this article