Manifesto: Tunaikan atau tidak, itulah persoalannya

Jangan abai terus janji yang dilihat mustahil dilaksanakan, tetapi disesuaikan demi mencapai matlamat akhir - maslahat rakyat.

2382 0
2382 0
Bahasa Melayu

Diterbitkan oleh Malaysiakini & The Malaysian Insight, gambar daripada Malaysiakini.

SEMENYIH yang baru berusia 9 bulan setengah di bawah Bersatu telah bertukar tangan kepada Umno pada 2 Mac yang lalu.

Selain faktor penyatuan Umno-PAS, sebahagian pihak menyifatkan ketewasan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil itu berpunca daripada persepsi bahawa PH dilihat gagal dalam melunaskan janji-janji manifestonya.

Semenjak tampuk kepimpinan negara berubah, isu manifesto acapkali didengungkan oleh pihak pembangkang, khususnya Barisan Nasional (BN), untuk membentuk naratif bahawa rakyat memilih PH bukanlah kerana endemik rasuah dalam BN, sebaliknya kerana terpedaya dengan janji bulan dan bintang yang diikrarkan oleh PH.

Dari sudut pandang demokrasi, kritikan pembangkang terhadap kegagalan kerajaan dalam melunaskan manifesto ini adalah sihat, bahkan lebih baik jika dibandingkan dengan kritikan yang berunsur perkauman.

Hal ini kerana kritikan berdasarkan idea adalah lebih bermanfaat dan konstruktif dalam pembinaan negara Malaysia.

Namun demikian, meskipun pembangkang kerap mempersoal isu manifesto yang tidak tertunaikan, PH dilihat tidak mengambil langkah yang tegas dan tuntas dalam melaksanakan janji-janji mereka.

Atau mereka sememangnya mengambil tindakan, tetapi rakyat tidak mengetahuinya?

Berdasarkan temu bual Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Rais Hussindengan Bernama News Channel pada 2 Mac yang lalu, beliau memaklumkan bahawa PH telah pun melaksanakan 28 daripada 60 janji yang termaktub dalam Buku Harapan, dan sedang mengusahakan yang selebihnya.

Apakah 28 janji yang telah dilaksanakan itu? Apakah yang belum dilaksanakan dan mengapa? 

Rakyat tidak pernah didedahkan dengan perincian mengenai perkembangan janji-janji yang telah dilaksanakan oleh pentadbiran PH.

Bahkan sebahagian besar mereka mengganggap PH langsung tidak menunaikan janjinya semenjak bertakhta di Putrajaya 9 Mei yang lalu.

Rakyat dan pembangkang tidak boleh disalahkan sekiranya mereka mengatakan bahawa PH mungkir janji, meskipun jika ia tidak.

Kerana yang bertanggungjawab terhadap perkara ini adalah pasukan komunikasi strategik PH, yang gagal dalam menyalurkan maklumat secukupnya berkaitan dengan strategi PH dalam merealisasikan janji-janji manifestonya.

Komunikasi strategik, melalui media sosial dan arus perdana, antara kerajaan dengan rakyat adalah amat penting.

Antara sifat wajib para nabi adalah tabligh, yakni menyampaikan. Para nabi diwajibkan untuk menyampaikan segala maklumat sahih tanpa kecuali kepada umatnya untuk memastikan mereka tahu mengenai ajarannya dan mengelakkan salah faham.

Ini adalah sifat yang wajar dicontohi oleh kerajaan sekarang.

Kerajaan perlu menjernihkan kekeruhan persepsi dan menamatkan penularan khabar angin yang berlegar. 

Kementerian-kementerian yang bertanggungjawab perlu menjelaskan apakah janji-janji manifesto yang telah dilaksanakan, apakah yang sedang diusahakan, apakah yang belum diusahakan, dan apakah yang telah dilanggar.

Ini semua merupakan sebahagian daripada pengamalan ketelusan yang wajar diterapkan dalam landskap politik Malaysia Baru.

Bagi janji-janji yang kelihatan mustahil untuk dilaksanakan, ia tidak wajar diabaikan terus.

Janji itu mestilah digubal semula dan disesuaikan dengan konteks ekonomi dan politik semasa, sekiranya keadaan tidak mengizinkan. 

Sarjana Muslim abad ke-13, ‘Izz al-Din ibn Abd al-Salam dalam kitabnya Qawa‘id al-Ahkam fi Masalih al-Anam menyebutkan: idha daq al-amr ittasa‘ (apabila keadaan menyempitkan, maka tafsiran hukum mesti diperluas).

Dalam Islam, apabila seseorang berada dalam satu keadaan yang menyempitkan, hukum asal yang dikenakan ke atasnya dibenarkan untuk diperluas.

Dalam hal ini, cara pengaplikasian manifesto mesti diperluas dan beberapa elemen boleh dikompromi demi tujuan akhir mencapai maslahat rakyat dan menunaikan amanah.

Pengubahsuaian ini difahami kerana manifesto ditulis berdasarkan sentimen dan maklumat yang tersedia semasa kempen pilihan raya.

Apabila maklumat sebenar dan keadaan semasa tidak lagi membenarkan terlaksananya manifesto, maka wajarlah ia diganti dengan sesuatu yang hampir kepada asal.

Kerajaan perlu menjelaskan sekiranya ada manifestonya yang diubah suai dan apakah sebab di sebaliknya.

Sebagai kesimpulannya, komunikasi strategik yang berkesan sebagai jambatan antara kerajaan dengan rakyat perlu dibina oleh PH.

Ia bertujuan untuk menjelaskan mengenai perkembangan semasa manifesto dan merespons terhadap beberapa salah faham, seperti penurunan harga petrol kepada RM1.50 yang tidak pernah termasuk dalam manifesto Buku Harapan.

Yang penting adalah kemahuan politik oleh menteri-menteri yang bertanggungjawab untuk merealisasikan kesemua janji-janji ini.

Paulo Coelho telah memberi mesej dalam bukunya The Alchemist, bahawa sekiranya wujud kemahuan politik yang ampuh, pasti ada jalan untuk merealisasikan impian kita.

Allah telah menjanjikan ganjaran buat mereka yang berusaha menunaikan janjinya dalam surah al-Fath ayat 10: “barangsiapa yang melanggar janji maka akibatnya akan menimpa dirinya sendiri, dan barangsiapa menepati janjinya kepada Allah, maka akan diberikan kepadanya ganjaran yang besar.” – 7 Mac, 2019.

Hilman Fikri Azman merupakan Pegawai Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

In this article