Koruplastik dan penderitaan alam sekitar

Sejauh manakah kedaulatan wang mampu mengatasi prinsip-prinsip mulia seperti pemeliharaan alam sekitar dan penjagaan kesihatan manusia?

2967 0
2967 0
Bahasa Melayu

Diterbitkan oleh ProjekMM & The Malaysian Insight, gambar daripada The Star.

Pada 23 April lalu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin mendedahkan bahawa sisa plastik diseludup masuk ke dalam negara ini walaupun kerajaan sudah mengharamkan kemasukan sisa buangan itu sejak Oktober 2018.

Tidak lama selepas itu, penduduk Sungai Petani, Kedah pula digemparkan dengan penemuan seluas 40 hektar tanah yang sarat dengan sisa plastik dan sampah sarap, sebahagiannya dibakar sehingga mencemarkan udara dan mengakibatkan bau busuk yang mencucuk hidung penduduk di kawasan perumahan sekitar.

Namun penduduk Sungai Petani bukanlah satu-satunya mangsa pencemaran. Antara lokasi lain yang turut dikenal pasti dengan pencemaran sisa buangan plastik dan sampah ini termasuklah di Jenjarom, Pelabuhan Klang, Teluk Gong di Selangor, Segamat di Johor, dan Ipoh di Perak. Greenpeace dan Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat dikatakan mengenal pasti 45 kawasan yang dipenuhi dengan sisa plastik dan sampah yang diseludup dari 19 buah negara.

Demikianlah fenomena ‘koruplastik’, di mana kemudaratan yang diakibatkan oleh plastik bukan berpunca pada keberadaan dirinya semata-mata, akan tetapi bersangkut-paut dengan cara pengurusannya yang kerap kali menatijahkan kerosakan. Dan sebagaimana yang akan dilihat, cara plastik ini diuruskan turut digerogoti oleh korupsi atau rasuah.

Sisa plastik dan sampah sarap yang tersadai di negara kita ini mempunyai sejarah pengembaraannya yang tersendiri.

Menurut sebuah kajian (https://www.sciencedaily.com/releases/2017/07/170719140939.htm) yang diterbitkan pada tahun 2017, daripada keseluruhan 8.3 bilion tan metrik plastik yang dihasilkan, 6.3 bilion tan metrik daripadanya akhirnya menjadi sampah. Daripada jumlah itu, hanya sembilan peratus sahaja yang dikitar semula, sementara 12 peratus dibakar dan selebihnya sejumlah 79 peratus daripada plastik sampah berakhir di tapak sampah dan lautan.

Kebanyakan plastik ini dihasilkan oleh negara maju (https://www.thestreet.com/world/countries-most-plastic-waste-14878534) seperti Amerika Syarikat yang menghasilkan 37.83 juta tan setahun, diikuti Jerman, Jepun dan Rusia masing-masing 14.48, 7.99 dan 5.84 juta tan setahun. Apabila banyak plastik yang dihasilkan, maka banyaklah pula sisa plastik yang terhasil daripadanya.

Bagaimanakah negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jerman menguruskannya? Mudah sahaja. Mereka mengeksport sampahnya keluar negara untuk diuruskan oleh mereka yang berkenan dengan pemprosesan sampah plastik.

Apabila wujud permintaan, maka di sana wujud juga penawaran. Maka sejak 1980-an lagi, China menawarkan khidmat pemprosesan sisa plastik dengan menerima kemasukan sisa itu dari luar negara.

United Kingdom misalnya mengeksport kira-kira 65 peratus daripada sisa plastiknya ke China. Sementara Ireland pula telah menghantar lebih 95 per cent daripada sisa plastiknya.

Walau bagaimanapun masalah timbul apabila China mengumumkan bahawa bermula 1 Januari 2018, ia tidak lagi akan menerima 24 jenis sisa sampah dari luar negara termasuk plastik, selaras dengan hasrat murni negara republik itu untuk mengurangkan penggunaan bahan api serta mewujudkan ruang udara yang lebih bersih. Perkara ini tentunya menimbulkan kekhuatiran buat negara-negara yang banyak mengeksport sisa plastik.

Sebagai rekod, pada tahun 2016 sahaja, China telah mengimport lebih 7.3 juta tan sisa plastik, berjumlah kira-kira US$3.7 (RM15.47) bilion, menjadikannya 56 peratus daripada keseluruhan import dunia. Dengan berkuat kuasanya larangan import ini, bayangkan ke mana pula akan perginya segala sisa plastik selepas ini.

Koruplastik di Malaysia

Atas sebab-sebab tertentu, tumpuan para pengeksport sisa plastik beralih ke Asia Tenggara, dan Malaysia lokasi sasaran utama mereka.

Tiada sebab yang eksplisit dinyatakan, namun bacaan tersirat menimbulkan kemungkinan bahawa negara-negara bermentaliti ‘Eurosentrik’ ini menganggap bahawa negara membangun memerlukan bisnes untuk menjana ekonomi mereka, dan kitar semula sisa plastik adalah antara bisnes yang cocok buat negara-negara membangun.

Selain itu, turut dikatakan bahawa kewujudan rakyat Cina sebagai kaum minoriti Malaysia juga menjadi faktor terpilihnya Malaysia sebagai lokasi sasaran kerana ia akan memudahkan urusan komunikasi syarikat kitar semula yang berasal dari China.

Benar, untuk syarikat kitar semula di Malaysia, pengimportan sisa plastik ini ke tanah air akan menjadi suatu sumber rezeki buat mereka. Jadi di mana salahnya mengimport sisa plastik?

Kesalahan pertama adalah mereka telah menyeludup sisa plastik yang tidak sewajarnya diimport, iaitu sisa plastik tercemar yang tidak boleh dikitar semula.

Selaras dengan Konvensyen Basel yang menuntut supaya negara tidak mengeksport dan mengimport sisa tercemar, kegiatan seperti ini wajar dibanteras.

Namun untuk mengaburi mata pihak berkuasa, sisa yang diimport itu tidak diisytiharkan sebagai sisa plastik tercemar. Misalnya skrap plastik yang seharusnya dilabel sebagai HS Code 3915, diisytihar sebagai HS Code 3920, dan boleh diimport tanpa permit.

Ada pun kesalahan (atau jenayah) keduanya adalah memperalat istilah kitar semula untuk kepentingan peribadi, sedangkan kebanyakan daripada sisa plastik yang diimport tidak dikitar semula pun.

Sebagaimana yang telah dilaporkan dalam banyak akhbar, sisa sampah tersebut telah dilonggokkan ke sebuah kawasan terbuka, sementara sebahagiannya dibakar sehingga mencemarkan udara. Lebih teruk lagi, mereka membuang sisa toksik tersebut ke dalam sungai atau laut.

Kegiatan ini ternyata merupakan bisnes yang amat menguntungkan. Dalam pasaran setempat, sesebuah syarikat yang terlibat dengan mengitar semula sisa plastik ini mampu mengaut keuntungan sehingga RM30 bilion sementara dalam pasaran global nilainya mampu melonjak sehingga RM600 bilion. Keuntungan lumayan ini diperolehi tanpa perlu berpenat-lelah mengitar semula.

Demikianlah korupsi yang berlaku dalam proses “kitar semula” yang seharusnya menyelamatkan alam sekitar.

Namun kerana kerakusan manusia yang gilakan keuntungan sehingga mengabaikan kejujuran dan prinsip, “kitar semula” menjelma menjadi bencana.

Al-Quran memberikan amaran mengenai peranan sebahagian manusia dalam mencetuskan kerosakan alam sekitar: “Telah zahir kerosakan di daratan dan lautan disebabkan oleh tangan-tangan manusia, maka Allah menjadikan mereka merasakan sebahagian akibat daripada perbuatan mereka, agar mereka kembali” (surah al-Rum: 41).

Merangka jalan keluar

Kini MESTECC telah mengarahkan agar sisa plastik tersebut dihantar semula kepada negara pengeksport.

Persoalannya, mengapa tidak awal lagi para pengeksport ini menguruskan sisa mereka di negara sendiri?

Michael Bloomberg, yang pernah menyandang jawatan sebagai Datuk Bandar New York dari 2002 hingga 2013 pernah menjelaskan pandangannya.

Menurutnya, antara sebab sisa plastik dan sampah tidak diuruskan sendiri adalah kerana kosnya yang mahal. Kos kitar semula sampah menurutnya adalah lebih tinggi berbanding melupuskannya sama sekali.

Katanya lagi apabila program kitar semula dihentikan selama 18 bulan, New York dapat jimat sejumlah US$56.6 juta (RM236.57 juta).

Maka apabila pendekatan kitar semula sisa plastik tidak begitu menggalakkan, cara yang paling murah dan mudah untuk menguruskan sisa sampah ini adalah dengan mengeksportnya keluar.

Di hujungnya, ia tetap berlegar pada persoalan moral manusia itu sendiri. Sejauh manakah kedaulatan wang mampu mengatasi prinsip-prinsip mulia seperti pemeliharaan alam sekitar, kebajikan habitat haiwan dan penjagaan kesihatan manusia?

Jika prinsip yang sedemikian suci juga boleh digadai dengan wang dan kekayaan, maka tiada lagi maruah yang tersisa pada diri seseorang itu.

Ketahuilah, koruplastik mengakibatkan kesengsaraan kepada haiwan-haiwan, yang akhirnya memudaratkan manusia.

Kesan koruplastik kepada alam

Makanan semula jadi buat burung camar adalah ikan-ikan kecil, sotong dan udang yang hidup di permukaan laut.

Namun pada 2015, dianggarkan 90 peratus daripada burung camar pernah memakan plastik kerana menyangka ia makanannya.

Walau bagaimanapun, pencemaran sisa plastik yang dilakukan manusia tidak sekadar memangsakan burung-burung. Lebih teruk lagi, ia turut membunuh hidupan marin yang berdiam di lautan.

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) menganggarkan bahawa kira-kira 100,000 hidupan marin mati setiap tahun kerana pencemaran plastik.

Ternyata koruplastik mendatangkan mudarat untuk tempoh jangka masa yang lebih panjang berbanding tempoh kebergunaannya.

Namun kemudaratan dan kesengsaraan yang dialami alam sekitar kita pada hari ini bukanlah hanya terletak pada isu import sisa plastik tercemar semata-mata. Sesungguhnya ia lebih luas daripada itu.

Ia terkait dengan industri penghasilan plastik dan gaya hidup kita sendiri. Untuk itu, solusi jangka masa panjangnya adalah dengan cara mengurangkan penggunaan plastik dalam kehidupan seharian secara bertahap.

Sikap kita mesti dimajukan seiring dengan kemajuan material. Mengubah sikap ini perlu, terutamanya buat mereka yang berdegar-degar mengaku progresif dan maju, namun di belakang pintu bersekongkol dalam sindiket pencemaran ini.

Negara-negara tersebut disarankan agar menghormati Konvensyen Basel yang mensasarkan pengurangan perpindahan sisa buangan antarabangsa, terutama dari negara maju ke negara membangun. Lokasi terbaik untuk menguruskan sisa plastik dan sampah adalah di mana tempat ia dihasilkan.

Memandangkan Malaysia melupuskan 2.3 juta tan barang di tapak pelupusan sampah pada setiap tahun, sedangkan barang-barang tersebut boleh dikitar semula, maka adalah wajar untuk Malaysia, menerusi MESTECC, menumpukan iltizamnya untuk membangunkan industri kitar semula yang sebenar dan bebas korupsi sebagai langkah untuk memelihara bumi ini sebelum mewariskannya kepada anak cucu kita sebuah bumi yang sihat.

Hilman Fikri Azman merupakan Pegawai Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

In this article