Integriti adalah sebahagian daripada Islam

Integriti tidak seharusnya dibezakan daripada Islam.

2635 0
2635 0
Bahasa Melayu

Diterbitkan oleh The Malaysian Insight, gambar daripada New Straits Times.

SAAT kita berbicara mengenai sesuatu mauduk, maka pasti akan wujud batas dalam perbincangan agar ia tidak tersasar dan terkeluar dari mauduk. Misalannya kamu mengusulkan mauduk “perbandingan hermenutik Hassan Hanafi dengan Paul Ricoeur,” maka perdebatan mestilah dibahaskan dalam batas mauduk itu. Jika seseorang itu membincangkan sesuatu sehingga terkeluar daripada mauduk, ia pasti tidak akan kelihatan bijak.

Dalam mauduk mizan (timbangan) kelayakan pemerintah, kriteria yang digunakan mestilah cocok dengan mauduk perbincangan. Jika seseorang membahaskan mauduk kepimpinan, namun menggunakan mizan kelayakan seorang tukang masak, atau kelayakan seorang ahli syurga, ia bererti tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Layak atau pun tidak seseorang itu masuk ke syurga merupakan perdebatan teologi, bukan kepimpinan, dan ia masyhur dalam ketiga-tiga agama samawi. Asha’irah misalannya meletakkan rahmat Tuhan sebagai syarat masuknya seseorang ke dalam syurga, sementara Mu’tazilah meletakkan mizan kuantiti amalan. Adapun keimanan manusia sebagai mizan untuk masuk ke syurga adalah sesuatu yang hanya layak dinilai oleh Allah Taala di akhirat.

Mizan kelayakan seorang pemimpin merangkumi perkara-perkara seperti integriti, kekuatan akal dan fizikal, kompetensi, berprinsip dan lainnya. Kriteria-kriteria ini disenaraikan oleh pemikir Muslim sepanjang zaman seperti al-Mawardi, al-Ghazali dan Ibn Taymiyyah agar kemaslahatan dunia dan agama terbela. Tuntasnya, keislaman seseorang dalam kepimpinannya boleh diukur berdasarkan mizan ini.

Apabila mizan kelayakan kepimpinan ini diabaikan, maka runtuhlah dasar-dasar yang diletakkan oleh Islam untuk membimbing umat Islam dalam memilih pemimpinnya. Jika seseorang itu mengatakan bahawa mizan kepimpinan ini boleh menggadai integriti dan mendakwanya sebagai sebahagian daripada Islam, sesungguhnya dia telah berdusta atas nama agama.

Saat Muhammad Abduh mengatakan “aku melihat Islam tanpa Muslim” saat berkelana ke Eropah, kemudian menyebut “aku melihat Muslim tanpa Islam” saat kembali ke Mesir, beliau bermaksud bahawa boleh wujud keadaan di mana seseorang itu Muslim, namun tidak mengamalkan ideal-ideal Islam.

Apabila wujud Muslim yang tidak mengamalkan ajaran Islam, dan dia bergaul dalam masyarakat, sesungguhnya dia berpotensi mendatangkan fitnah kepada agama dengan perlakuannya yang tidak berlandaskan Islam itu. Bayangkan pula jika orang ini dipilih sebagai pemimpin, bukan sahaja ia tidak menepati mizan kepimpinan dalam Islam, bahkan mendatangkan mudarat kepada masyarakat dan agama. 

Integriti merupakan sebahagian daripada mizan kelayakan kepimpinan, dan jika seseorang meyakini bahawa Islam itu syumul (komprehensif), dia tidak sayugianya membezakan nilai integriti daripada Islam sebagai al-din. Bahkan untuk orang yang tidak berintegriti, Islam menggugurkan kelayakannya sebagai pemimpin.

Tidak seharusnya seseorang menghalalkan dukungan terhadap pemimpin yang tidak berintegriti untuk memelihara kepentingan dan survival politik. Artikel ini tidak akan ditulis jika yang menghalalkannya tidak mendabik dada mewakili Islam. Namun disebabkan yang menghalalkan mendakwa Islam di pihaknya, maka dirasakan teguran dan penjelasan ini mustahak untuk dilontarkan sebagai tanggungjawab sesama Muslim.

Islam menganjurkan agar sesuatu diletakkan pada tempatnya. Dan dalam soal kepimpinan, Rasulullah SAW telah memberi amaran dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari: 

“Saat urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran.” 

Semoga kita jujur dalam memikul ajaran Islam tanpa diikat dengan keinginan berkuasa, selaras dengan kebenaran dan matlamat yang murni buat maslahat sekalian manusia.

Hilman Fikri Azman merupakan Pegawai Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

In this article