Apa usaha jaminan keselamatan makanan?

Menangani masalah keselamatan makanan memerlukan penyelesaian masalah tanaman ruji kita, nasi.

2791 0
2791 0
Bahasa Melayu

Diterbitkan oleh Utusan Malaysia & Utusan Malaysia (Akhbar), gambar daripada Malaysiakini.

Keselamatan makanan wujud apabila semua orang, pada setiap masa, mempunyai akses kepada makanan yang cukup, selamat dan berkhasiat.

Memandangkan populasi semakin meningkat, agak mencabar untuk menjamin keselamatan makanan. Pada 2018, Malaysia menduduki tangga ke-40 daripada 113 negara yang dicerakin dalam Indeks Keselamatan Makan Global (GFSI).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin menyatakan bahawa pada tahun 2018, Malaysia mempunyai tahap sara diri (SSL) yang baik. SSL adalah kayu ukur kebergantungan kita kepada makanan tempatan berbanding dengan makanan yang diimport.

Paras SSL untuk salah satu tanaman ruji kita beras, adalah 71.6 % pada 2018 masih jauh berbanding 80 % sasaran SSL pada tahun 2022. Janji kesepuluh manifesto Pakatan Harapan (PH) mengandungi 14 sub-janji, dan salah satu daripadanya adalah untuk menyemak semula dasar keselamatan makanan.

Dalam dua tahun pertama, PH berjanji untuk fokus kepada beras, dengan matlamat membangunkan industri beras supaya menjadi lebih produktif dan memaksimumkan bekalan beras negara. Setakat ini, hanya satu sub-janji yang berjaya dilunaskan, iaitu penamatan monopoli import beras oleh Padiberas Nasional Bhd. Soalannya sekarang, bagaimana mereka akan memenuhi sub-janji yang seterusnya? Pelaksanaan dasar-dasar ini mestilah mencerminkan situasi semasa di Malaysia.

Menurut Dekan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Abdul Shukor Juraimi, terdapat banyak halangan kepada pertanian makanan di Malaysia.

Salah satu daripadanya adalah tanaman makanan memerlukan lebih banyak penyelenggaraan berbanding tanaman seperti kelapa sawit.

Jangka hayat sebatang pokok kelapa sawit adalah antara 25-30 tahun lebih lama berbanding kebanyakan tanaman makanan iaitu antara beberapa bulan hingga beberapa tahun.

Racun perosak dan baja yang digunakan pula kebanyakannya diimport. Dengan nilai ringgit yang semakin menyusut, harga bahan-bahan ini kian meningkat. Serangga perosak dan penyakit juga mempengaruhi penanaman makanan di Malaysia.

Anggaran kerugian akibat penyakit blas bagi tanaman padi contohnya adalah 90,000 tan setiap musim bertani, atau lebih kurang RM72 juta. Pembaziran adalah satu lagi masalah yang jarang dibahaskan.

Contohnya, kehilangan lepas tuai tanaman padi pada tahun 2015 mengakibatkan kerugian sebanyak RM 311 juta. Menangani masalah keselamatan makanan memerlukan penyelesaian masalah tanaman ruji kita, nasi.

Melabur dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) merupakan salah satu langkah yang boleh diambil untuk mewujudkan lebih banyak variasi kacukan hasil yang lebih tinggi.

Kajian berkaitan memberi impak positif dalam usaha mencapai SSL dalam penghasilan beras. Peralihan secara berperingkat kepada baja bio juga harus digalakkan kerana penggunaan baja kimia dan racun serangga akan percepat proses degradasi tanah dalam jangka masa panjang.

Mikroorganisma yang terdapat dalam baja bio akan menghuni rizosfera tanaman dan menggalakkan pertumbuhan dengan membekalkan nutrien yang secukupnya.

Selain itu, latihan serta pengembangan pertanian patut diberi galakan sepenuhnya untuk meningkatkan produktiviti seperti pengajaran kaedah-kaedah pertanian terbaik. Beberapa kursus dan latihan disediakan oleh Kementerian seperti Program Sijil Pertanian (IPSM) dan Program Inkubator Usahawan Belia Tani (IUBT).

Integrasi automasi dan Internet of Things (IoT) akan meningkatkan produktiviti dan menyahkan kehilangan lepas tuai akibat kecuaian manusia sensidi semasa proses penuaian.

Lebih banyak penyelidikan harus dibuat demi menjamin keselamatan makanan sekali gus memanfaatkan kita semua.

Eyman Hadi merupakan Penganalisis Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang fokus kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

In this article