PTPTN: Antara janji dan tanggungjawab

Hutang berkait rapat dengan tanggungjawab, amanah dan kebijaksanaan dalam menguruskan perbelanjaan.

2300 0
2300 0
Bahasa Melayu

Diterbitkan oleh The Malaysian Insight, gambar daripada The Star.

SETAKAT akhir tahun 2018, 51% atau 972,000 peminjam tidak membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN); 356,000 daripadanya tidak pernah membayar balik dengan jumlah keseluruhan tunggakan mencecah RM2.8 bilion, selebihnya membayar balik secara tidak konsisten sementara separuh tidak membayar balik melebihi tempoh satu tahun.

Perlu diketahui, sumber dana PTPTN untuk membiayai pinjaman kepada pelajar diperolehi melalui dua kaedah iaitu geran kerajaan (daripada tahun 1997 sehingga 2002) dan pinjaman daripada institusi kewangan (tahun 2003 hingga kini).

Dengan hanya dikenakan 1% caj nominal ujrah, satu bentuk yuran perkhidmatan patuh syariah, ia boleh dikatakan rendah jika dibandingkan meminjam daripada bank komersial yang lain, dengan kos dana sekitar 5 peratus. Kos dana ini disubsidi oleh kerajaan.

Jujur dengan janji

“Menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam” disebut sekurang-kurangnya tiga kali dalam buku manifesto Pakatan Harapan (PH).

Sebulan selepas PRU14, kesemua 429,945 peminjam bebas dari disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen Malaysia. Namun kini, Timbalan CEO PTPTN, Mastura Mohd Khalid mengatakan terdapat cadangan ingin mengenakan kembali sekatan perjalanan ke luar negara termasuk menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan.

Apakah perancangan kerajaan PH mengenai PTPTN? Formula apakah yang digunakan semasa merangka manifesto berkenaan PTPTN? Adakah ugutan cara terbaik meminta hutang? Persoalan demi persoalan muncul selagi janji yang dibuat belum dilunaskan.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan akhirnya berterus-terang. Jika pembayaran balik pinjaman PTPTN ditangguh sehingga pendapatan peminjam mencapai RM4,000, tempoh bayaran balik akan mengambil masa antara 6 hingga 15 tahun. Ini mengakibatkan hutang akan meningkat mencecah RM100 bilion menjelang tahun 2040.

Kenyataan-kenyataan jujur sebegini harus diberitahu. Bukannya terus menerus memberi alasan dan menyalahkan pihak lain. Tanggungjawab yang diberikan harus dijalankan dengan penuh amanah dan telus.

Tanggungjawab sebagai peminjam

Hutang berkait rapat dengan tanggungjawab, amanah dan kebijaksanaan dalam menguruskan perbelanjaan. Tujuannya untuk membantu meringankan beban seseorang dalam sesuatu urusan.

Dalam Islam, hutang adalah amanah yang wajib dijelaskan. Maka, menjadi kewajiban ke atas peminjam untuk menghormati dan menunaikan tanggunjawab mereka membayar balik pinjaman.

Hutang juga wajib dipulangkan dengan sempurna serta ditentukan masa untuk menjelaskannya. Ia perlu ditepati tanpa berlengah-lengah.  Rasulullah S.A.W mengingatkan perbuatan melengah-lengah itu adalah suatu kezaliman sebagaimana sabdanya yang memberi erti orang yang melengah-lengahkan penjelasan hutangnya, sedangkan ia mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian, adalah seorang yang zalim.

Apabila peminjam melangsaikan pembayaran pinjaman PTPTN-nya, ia memberi peluang dan ruang kepada peminjam yang baru untuk meneruskan pembelajaran ke peringkat lebih tinggi. Jika hal sebaliknya berlaku, pasti ia akan merencatkan kemampuan pihak PTPTN dalam memberi pinjaman baharu kepada generasi yang mendatang.

Jalan penyelesaian

Dalam mencari jalan penyelesaian untuk meminta peminjam membayar balik pinjaman mereka, semua pihak tidak boleh terlepas pandang mengenai peningkatan jumlah kolej dan universiti swasta di Malaysia sekarang.

Mereka mengenakan yuran yang terlalu tinggi dan membuat pelajar membuat pinjaman dari PTPTN. Mereka membuat keuntungan daripada hutang yang dipinjam oleh pelajar.

Sudah tiba masanya untuk melihat semula tujuan PTPTN ditubuhkan, pendidikan atau mengkayakan pihak-pihak tertentu?

Buat masa sekarang, para peminjam hanya diwajibkan untuk mula membuat pembayaran balik selepas 12 bulan tamat belajar dan para peminjam masih bebas daripada disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Namun harus diingati, laporan kredit di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) Bank Negara Malaysia mengenai pinjaman PTPTN akan direkodkan selepas 12 bulan tamat belajar. Rekod CCRIS yang tidak cantik menjejaskan permohonan pinjaman (kereta, rumah, atau individu) dari pihak bank.

Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) diperkenalkan oleh PTPTN untuk penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi. Tidak dinafikan, untuk membudayakan amalan menabung bukanlah satu perkara yang mudah. Oleh itu, PTPTN telah menawarkan skim yang memberi pelbagai manfaat sebagai balasan kepada simpanan yang dibuat antaranya perlindungan takaful secara percuma ke atas pendeposit simpanan RM1,000.00 ke atas, simpanan dijamin kerajaan, pelepasan taksiran cukai dan pelbagai lagi.

Pihak Kerajaan diharap dapat mencari alternatif lain yang lebih lestari berbanding Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN seperti meneroka ijtihad-ijtihad baharu dalam wakaf dan melibatkannya.

Ini kerana sistem pinjaman PTPTN ini bersifat hutang yang akan membebankan para pelajar dan juga Kerajaan termasuk PTPTN sendiri apabila para peminjam gagal membayar balik pinjaman. Perkara ini akan terus menjadi modal politik pihak-pihak berkepentingan apabila tiba musim pilihan raya.

Akhir sekali, buah fikiran cerdik pandai amat diperlukan dalam membincangkan alternatif pembayaran balik pinjaman PTPTN ini. Justeru, pihak berkepentingan diseru menyuarakan pendapat menerusi kertas konsultasi rakyat dalam membantu kerajaan membuat keputusan dalam menggubal dasar berkaitan PTPTN ini. Rakyat boleh menyuarakan pendapat mereka menerusi kertas konsultasi di laman sesawang https://www.ptptn.gov.my/kertas-konsultasi-rakyat/my/Utama yang berakhir pada 13 Jun ini.

Amir Jalal merupakan Pegawai Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

In this article