Apakah makna Aidilfitri?

Nilai-nilai kesamarataan, kesederhanaan, kebersamaan dan kemaafan dapat dipupuk saat kita memaknai Aidilfitri.

2714 0
2714 0
Bahasa Melayu

Diterbitkan oleh Free Malaysia Today & AlHijrah Online, gambar daripada Free Malaysia Today.

“Kamu akan kehilangan nikmat jika tidak bersyukur kepadaNya, dan nikmatnya kamu akan terselamat dengan bersyukur kepadaNya. Kamu menjemput ujian jika nikmat tidak menjadikanmu semakin tekun dalam ibadah.”
– Ibn ‘Ata’illah, al-Hikam (abad ke-13)

‘Id al-Fitr (Aidilfitri) secara etimologinya bermaksud kembali kepada iftar – yakni kembali makan dan minum seperti sediakala – setelah sebulan kita menahan lapar dan dahaga. Untuk menunjukkan ketegasan kembali kepada keadaan sediakala ini, Shariah telah mengharamkan umat ini daripada berpuasa pada 1 Shawal.

Pada bulan Ramadan yang sebelumnya, umat Islam telah diwajibkan untuk berpuasa selama sebulan dengan maqasid sosial sebagai tanda solidariti kepada kaum fakir dan miskin di serata dunia yang menderita kelaparan.

Sehingga tahun 2015, kira-kira 10% daripada populasi manusia berada dalam kategori miskin tegar.

Miskin tegar dalam takrifan Bank Dunia adalah mereka yang berbelanja kurang daripada AS$1.90 sehari. Menilai situasi ekonomi semasa, adakah wang sebanyak RM8 (AS$1.90) cukup untuk menampung makan, minum dan perlindungan seharian?

Malangnya di Syria dan Yemen, kadar miskin tegar sebegini telah melonjak dari 9.5% pada tahun 2013 ke 18.6% pada tahun 2015 lantaran pergolakan yang sedang berlaku.

Barangkali ramai yang mengetahui fakta ini namun tidak merasakan empati. Hanya saat seseorang itu merasa lapar seharian sebagaimana kaum miskin ini barulah perasaan empati dapat dizahirkan. Atas faktor maqasid sosial inilah berpuasa menjelma sebagai suatu bentuk solidariti bermakna bersama kaum fakir dan miskin.

Dalam hal ini, setiap Muslim, termasuk yang kaya dan berada – yang sebelumnya biasa menikmati kelembutan daging wagyu atau kaviar ikan di restoran-restoran mewah – akan turut menahan diri daripada makanan tersebut dan berlapar.

Di sini agama berkehendak untuk mendidik manusia dengan nilai-nilai kesamarataan, empati sesama manusia terutamanya kaum marginal, serta kawalan diri terhadap nafsu makan dan kemewahan.

Umat Islam kemudiannya diwajibkan untuk membayar zakat fitrah, salah satu rukun keislaman. Al-Qur’an menerusi surah al-Tawbah telah mengisyaratkan darihal pentingnya penubuhan institusi pungutan zakat yang diamanahkan untuk mengutip dan mengurus aset zakat. Firman Allah:

“Kutiplah sebahagian daripada harta mereka sebagai zakat.” (Surah al-Tawbah: 103)

Wang yang dikumpulkan daripada kaum Muslimin kemudiannya akan dipulangkan semula kepada kelapan-lapan asnaf zakat, yakni kaum fakir, miskin, muallaf, al-gharimin (mereka yang berhutang), al-riqab (mereka yang dibelenggu), ibn sabil (mereka yang mengembara), fisabilillah dan amil sendiri pada 1 Shawal.

Falsafah di sebalik pengagihan zakat ini adalah untuk mengukir senyuman bahagia di wajah para penerima zakat. Hal ini kerana Islam melihat bahawa setiap Muslim, sama ada yang miskin ataupun yang kaya, berhak untuk bergembira pada hari lebaran ini.

Dalam sebuah masyarakat yang komunal dan bermuafakat, kegembiraan sosial hanya dapat dikecapi saat setiap segmen mereka bergembira.

Sekali lagi, nilai kesamarataan sesama manusia menjadi prinsip asasi yang mendasari sesuatu ibadah dalam agama. Tentunya merupakan sesuatu yang menyentuh hati melihat setiap manusia mampu bergembira pada pagi Shawal.

Untuk mengindahkan lagi suasana pada Hari Raya, umat Islam telah disarankan untuk berwangi-wangian, memakai pakaian yang indah, makan sebelum ke masjid, bersolat sunat di paginya, bertemu dengan seramai yang mungkin dan saling mengucapkan selamat serta memohon maaf.

Mengenakan pakaian yang indah tidak bermakna terlalu menonjol sehingga mewujudkan rasa bangga dalam hati. Menganjurkan keraian rumah terbuka pula janganlah sehingga terlalu mewah dan membazir.

Hal ini kerana Allah Taala telah mengingatkan kepada hamba-hambaNya (‘ibad al-rahman) agar sentiasa bersikap sederhana (wasatiyyah):

“Dan apabila mereka membelanjakan hartanya, mereka tidak boros dan tidak pula kedekut, dan adalah perbelanjaan mereka sederhana antara kedua-duanya.” (Surah al-Furqan: 67)

Tiada siapa menafikan keenakan juadah hari raya, namun batas makan tetap perlu dijaga. Tidak sayugianya makan berlebihan sehingga mampu memudaratkan kesihatan. Demikian juga dari sudut berpakaian hendaklah bersederhana.

Sebaiknya elakkanlah “libas al-shuhrah” (pakaian glamor) yang begitu menonjol kerana pakaian sedemikian tidak diraikan dalam agama.

Demikian saranan Shariah agar kita sentiasa bersederhana. Adapun dalam bab berziarah dari rumah ke rumah, kita disarankan untuk berkongsi kenderaan demi mengurangkan pembebasan karbon yang menyumbang kepada perubahan iklim.

Agensi Pemeliharaan Alam (EPA) telah merekodkan bahawa secara purata 75% daripada pencemaran udara berpunca daripada kereta, sementara di kawasan bandar jumlah itu boleh mencecah sehingga 90%.

Shariah yang sama yang menganjurkan kita untuk berziarah juga telah melarang kita daripada melakukan kerosakan di bumi (fasad fi al-ard). Hubungan yang mesti dipelihara dalam Islam bukanlah sekadar hubungan sesama manusia, tetapi juga sesama manusia dengan alam sekelilingnya, dan semuanya itu terangkum dalam memenuhi ketaatan kepada Allah Taala.

Selain itu, ziarah juga seharusnya berfungsi untuk merapatkan hubungan dan memupuk rasa kebersamaan. Maka janganlah biarkan gajet merampas masa bersosial kita bersama keluarga dan sahabat handai. Suntiklah perbualan bermakna mengenai kehidupan dan pengalaman bersama mereka di sekeliling kita.

Tidaklah dinamakan ziarah jika tidak dimuktamadkan dengan kemaafan. Sesungguhnya tarbiyah Ramadan selama sebulan menjernihkan hati setiap Muslim, sehingga dengannya ia lebih bersedia untuk memaafkan saat memasuki bulan Shawal.

Kejernihan hati merupakan prasyarat sebelum tangan dihulurkan dan kemaafan dituturkan. Apabila tiba masanya Aidilfitri ini, maafkanlah segala kekhilafan dengan penuh keikhlasan, lepaskanlah segala dendam, dan lupakanlah persengketaan silam.

“Jadilah kamu orang yang pemaaf, dan ajaklah manusia mengerjakan kebaikan, serta berpalinglah daripada orang yang jahil.” (surah al-A’raf: 199)

Adapun segala maksiat dan dosa yang ditangguhkan sementara pada bulan Ramadan, ia mestilah ditinggalkan terus. Barangsiapa yang menjadikan Shawal sebagai bulan untuk menyambung perbuatan dosanya, maka telah sia-sialah sebulan Ramadannya.

Demikianlah Aidilfitri mengajar kita iktibar asasi sebagai pedoman menyambung legasi Ramadan. Sekiranya detik-detik Aidilfitri ini dimaknai secara hakiki, maka akan tersemailah dalam diri kita nilai kesamarataan, kesederhanaan, kebersamaan dan kemaafan yang secara konsisten dipupuk dalam Islam.

Itulah makna takbir yang dilantunkan sepanjang hari – sebagai tanda kemenangan khudi (diri) ke atas nafsunya, dan menangnya nilai kemanusiaan ke atas kegelapan dosa.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar, wa lillahi al-hamd.

Hilman Fikri Azman merupakan Pegawai Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

In this article