Bolehkah berbohong untuk selamatkan parti?

Hanya ketakutan kepada Allah yang mampu mencegah seseorang daripada melakukan jenayah akademik dan mempergunakan agama demi kepentingan kepartian.

2156 0
2156 0
Bahasa Melayu

Diterbitkan oleh Free Malaysia Today, gambar daripada Bernama.

Mereka yang terlatih dalam disiplin agama pasti akan terganggu pada saat dalil al-Qur’an dan Sunnah serta peristiwa sirah diambil di luar konteks dan diulas tanpa menurut manhaj (kaedah sistematik) tertentu.

Pengabaian disiplin dan kaedah merupakan jenayah akademik terhadap agama dan ilmu secara amnya. Ia perlu kepada pembetulan dan pencerahan bagi mengekang penyebaran maklumat yang salah. Contohnya, membenarkan perkahwinan bawah umur melalui pembacaan sirah yang salah.

Namun lebih dahsyat sekiranya kesalahan tersebut digunakan untuk menjustifikasi kepentingan eksklusif yang bukan muktabar. Ia bererti mempergunakan sesuatu yang dipandang tinggi dan mulia seperti agama untuk mencapai sesuatu kepentingan.

Lantaran perbuatan sebegitu berleluasa di tanah air kita, masyarakat secara konvensyen menlahirkan istilah “penunggang agama” untuk merujuk kepada individu yang memperalatkan agama untuk apa-apa juga “kepentingan eksklusif”.

Kepentingan eksklusif adalah kepentingan yang tidak muktabar, merangkumi yang bersifat peribadi, seperti kemasyhuran, politik kepartian, atau keuntungan kebendaan ekonomi.

Menjelaskan punca perbuatan itu, al-Imam al-Ghazali al-Tusi menyebut tentang penyakit hati seperti sikap tamakkan dunia, bertuhankan nafsu, rakus kuasa serta mabuk kemasyhuran, yang menjadi punca semua dosa.

Ia menutup pandangan hati daripada kebenaran dan kejujuran, serta membuka seluas-luasnya pintu untuk mempergunakan agama dan ilmu lain demi kepentingan diri sendiri.

Bolehkah berbohong?

Apabila Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin menghalalkan pembohongan kerana perbuatan fitnah yang terlalu banyak (baca: https://www.malaysiakini.com/news/463924), maka beliau telah melanggar kaedah dan manhaj yang muktabar dalam pengeluaran hukum.

Kaedah muktabar menyatakan bahawa asal berbohong adalah berdosa. Ia hanya dibenarkan dalam keadaaan yang membahayakan nyawa, sebagai induktif daripada hadith mengenai ‘Ammar bin Yasir yng diriwayatkan oleh Ibn Majah.

‘Ammar diancam bunuh oleh kaum Quraysh sekiranya enggan memohon keselamatan daripada berhala. Maka lidahnya pun menyebut sanjungan kepada al-Lat dan al-‘Uzza, 2 berhala Quraysh, sedangkan hatinya tidak bermaksud demikian.

Demikian pembohongan yang dibenarkan, hatta dengan kalimah yang menyalahi akidah untuk menyelamatkan nyawa. Prinsip ini kemudiannya dibangunkan menjadi kaedah “hifz al-nafs” atau pemeliharaan nyawa.

Mursyidul am PAS itu turut memetik kisah Nu‘aym ibn Mas‘ud untuk memberi gambaran bahawa sahabat Rasulullah SAW juga berbohong dalam keadaan tertentu. Hakikatnya Nu‘aym tidaklah berbohong.

Merujuk semula kepada sirah, beliau hanya menggunakan pengaruhnya untuk mempengaruhi keputusan akhir puak Ghatafan, kaum Quraysh dan Bani Qurayzah dalam mendepani tentera Rasulullah SAW. Tambahan pula, perbuatan itu dilakukan dalam konteks peperangan, yang membolehkan helah digunakan untuk menyelamatkan nyawa.

Maslahah umum lawan maslahah parti

Adapun fitnah dan tohmahan, mestilah dijawab dengan fakta, bukan dengan pembohongan. Menghalalkan pembohongan untuk kepentingan kepartian jelas bercanggah dengan prinsip maslahah mu‘tabarah (kemaslahatan yang diiktiraf) yang digariskan dalam usul al-fiqh.

Kemaslahatan (kepentingan) yang muktabar mempunyai beberapa ciri, antaranya tidak menyalahi nas, umum merangkumi majoriti dan bersifat pasti. Namun, jika kepentingan tersebut menyalahi kebenaran, eksklusif untuk parti tertentu, ternyata ia merupakan matlamat yang batil (tidak benar).

Dikatakan batil kerana maslahat agama mengutamakan kebenaran. Menggunakan maslahat untuk melepaskan diri daripada kebenaran dan pengadilan adalah suatu bentuk mafsadah (kerosakan).

Maslahat juga sifatnya umum merangkumi semua, bukan untuk maslahat parti atau individu tertentu.

Menggunakan hujah yang salah untuk menjustifikasi kepentingan yang eksklusif bererti melanggar hudud (batasan) Allah. Hanya ketakutan kepada Allah yang mampu mencegah seseorang daripada melakukan jenayah akademik dan mempergunakan agama demi kepentingan kepartian.

Demikian seharusnya sifat seorang ustaz atau tuan guru, sebagaimana yang disebut dalam al-Quran:

“Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah daripada kalangan hambaNya hanyalah ulama.” (surah Fatir: 28)

Jadikan pengalaman Eropah sebagai pengajaran

Memperalatkan agama untuk menjustifikasi kepentingan kepartian, sebagaimana yang terserlah dalam isu kebocoran rakaman suara Nik Abduh baru-baru ini atau dalam isu pelaksanaan AES, mestilah dihentikan.

Ia merupakan budaya yang tidak sewajarnya wujud dalam era Malaysia Baru.

Sekularisme lahir di Eropah kesan fenomena penunggangan agama, tatkala sijil “Indulgence” gereja dijual demi keuntungan material. Reputasi Katolisisme yang tercemar susulan perbuatan itu membangkitkan rasa mual rakyat terhadap agama dan agamawan.

Sekiranya agamawan dan ulama yang takutkan Allah tidak mahu corak sejarah yang sama berulang, selain ingin menyekat fitnah terhadap Islam, pelakuan seperti itu mestilah dihentikan.

Ia boleh dilakukan dengan menambah kefahaman tentang ideal Islam, selain mengelakkan penyalahgunaan dalil agama demi kepentingan yang khusus, terutama yang melibatkan politik.

Dengannya, masyarakat Muslim yang terdidik dapat dilahirkan dan budaya dialektik beroleh peluang untuk menjadi lebih subur.

Hilman Fikri Azman merupakan Pegawai Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

In this article