Hutang RM1 trilion bukan alasan mungkir manifesto

Selaras dengan prinsip integriti dan amanah yang dijunjung dalam konsep urus tadbir yang baik, segala janji yang dituturkan mestilah dikotakan.

2171 0
2171 0
Bahasa Melayu

Diterbitkan oleh ProjekMM, gambar daripada Malay Mail.

Tiada debat mengenai status manifesto, sama ada ia niat ataupun janji, kerana Tun Dr Mahathir Mohamad telah pun menyifatkan Buku Harapan sebagai “janji-janji kami.”

Selaras dengan prinsip integriti dan amanah yang dijunjung dalam konsep urus tadbir yang baik, segala janji yang dituturkan mestilah dikotakan.

Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 34 bermaksud: “dan kotakanlah janjimu, sesungguhnya janji itu akan dipertanggungjawabkan kelak.”

Perintah ini memberi gambaran bahawa janji bukan sahaja dituntut oleh manusia, tetapi turut dituntut oleh Allah Taala. Kesejajaran antara wahyu dan rasionaliti dalam hal ini seharusnya mendorong mereka yang berjanji agar memenuhi apa yang dijanjikannya.

Ada janji yang diikrarkan untuk ditunaikan dalam masa tertentu, ada yang dalam masa yang lebih lama, misalannya 5 tahun.

Apabila janji tidak ditunaikan setelah melewati masa yang ditentukan, ia bererti perlanggaran janji. Namun selagi kita berada dalam tempoh masa itu, ia tidak boleh dikatakan sebagai melanggar janji jika ia belum terlaksana.

Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah menawarkan 60 janji yang dirangka berdasarkan 5 teras untuk direalisasikan sekiranya ia berjaya menawan Putrajaya.

Meskipun Buku Harapan tidaklah sesakral kitab wahyu, namun ia berperanan sebagai dokumen cetak biru untuk merangka tindakan PH dalam mencorak Malaysia baru, terutama dalam meringankan bebanan kehidupan rakyat.

Apabila PH berjanji untuk menunaikan sebahagian daripada manifestonya dalam masa 100 hari, maka rakyat berhak menyifatkannya sebagai melanggar janji sekiranya mereka gagal melunaskannya dalam masa 100 hari.

Namun untuk manifesto yang dijanjikan untuk tempoh lima atau 10 tahun, rakyat berhak untuk mengetahui apakah perancangan Kerajaan untuk mencapai apa yang telah dihasratkan tersebut.

Kegagalan Kerajaan PH dalam menyalurkan maklumat secukupnya berkaitan dengan strateginya untuk merealisasi manifestonya akan mengakibatkan persepsi liar berlegar dalam kalangan awam, melahirkan label seperti pembohong dan sebagainya.

Fenomena tersebut mencerminkan keyakinan dan penerimaan rakyat terhadap kerajaan yang semakin meluntur. Oleh yang demikian, komunikasi berstruktur antara kerajaan dengan rakyat adalah penting.

Kerajaan perlu memberi penjelasan terhadap perkembangan perlaksanaan manifesto untuk  menjernihkan kekeruhan dan menamatkan penularan khabar angin.

Mereka perlu menjelaskan apakah janji-janji manifesto yang telah dilaksanakan, apakah yang sedang diusahakan, apakah yang belum diusahakan, dan apakah yang telah dilanggar.

Ini semua merupakan sebahagian daripada pengamalan ketelusan yang wajar diterapkan dalam landskap politik Malaysia Baru.

Misalannya, manifesto untuk menyamaratakan gaji minimum di seluruh negara pada kadar RM1,100 telah dilaksanakan dan proses untuk meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500 dalam masa lima tahun sedang dijalankan, seperti yang diumumkan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Sebahagian janji manifesto pula mesti digubal semula dan disesuaikan dengan konteks ekonomi dan politik semasa, sekiranya keadaan tidak mengizinkan.

Hal ini selaras dengan kaedah fiqh yang dikembangkan oleh Sultan al-‘Ulama al-‘Izz Abd al-Salam yang menyatakan idha daq al-amr ittasa‘ (apabila keadaan menyempitkan, maka tafsiran hukum mesti diperluas).

Pengubahsuaian ini difahami kerana manifesto ditulis berdasarkan sentimen dan maklumat yang tersedia semasa kempen pilihan raya.

Apabila maklumat sebenar dan keadaan semasa tidak lagi membenarkan terlaksananya manifesto, maka wajarlah sekiranya ia diganti dengan sesuatu yang hampir kepada asal.

Oleh itu, pada hari ini kerajaan perlu menjelaskan sekiranya ada daripada janji manifestonya yang diubah suai dan apakah sebab di sebaliknya.

Kerajaan, menerusi kementerian yang relevan, juga dicadangkan untuk segera menamatkan kekeliruan terkait dengan manifesto PRU13 yang dikelirukan sebagai manifesto PRU14 yang tersebar luas di media sosial, seperti menurunkan harga petrol kepada RM1.50.

Oleh yang demikian adalah penting untuk diselesaikan kerana kekeliruan ini menyumbang kepada persepsi bahawa kerajaan tidak menunaikan janjinya.

Media sosial adalah ruang alternatif yang tidak boleh diabaikan. Adalah tidak wajar untuk kerajaan bergantung kepada media arus perdana dan membiarkan media sosial dikuasai oleh berita palsu.

CH Spurgeon pernah menyebut, khabar angin telah sampai ke seluruh pelusuk dunia saat kebenaran baru melorongkan kakinya ke dalam kasut.

Agar yang demikian tidak berlaku, menteri-menteri yang terlibat perlu proaktif menjawab spekulasi dan salah faham manifesto di media sosial dengan pantas dan bijaksana.

Pada masa yang sama, kementerian yang bertanggungjawab juga perlu berusaha mencari jalan sebaiknya untuk menunaikan manifesto mereka di sebalik kesukaran dan kekangan kewangan.

Ia berhajat kepada kemahuan politik (political will) yang ampuh daripada seluruh ahli kabinet dan petugas-petugas kementerian untuk merealisasikannya. Pepatah tradisi telah menyebut, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Untuk itu, hutang negara RM1 trilion tidak sewajarnya dijadikan sebagai dalih berterusan untuk mengelak daripada menepati janji-janji manifesto.

Apabila watak Napoleon berterusan mengingkari 7 Rukun dalam karya satira Animal Farm dengan memberikan berbagai alasan, beliau sebenarnya sedang mengeruhkan krisis keyakinan dan menanti saat kejatuhannya.

Karya George Orwell tersebut sewajarnya menjadi pengajaran agar manifesto yang dijanjikan tidak dimungkiri.

Dengan kemahuan politik yang ampuh, pasti ada jalan untuk merealisasikannya. Allah Taala telah menjanjikan ganjaran buat mereka yang berusaha menunaikan janjinya dalam surah al-Fath ayat 10 bermaksud: “barangsiapa yang melanggar janji maka akibatnya akan menimpa dirinya sendiri, dan barangsiapa menepati janjinya kepada Allah, maka akan diberikan kepadanya ganjaran yang besar.”

Hilman Fikri Azman merupakan Pegawai Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

In this article